HIKMAH BERKAHWIN
Ibnu Abbas yang satu ketika dia sakit dan isterinya pada masa itu telah mati lebih dahulu. Dia pun berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Kahwinkan aku kerana aku hendak mati dalam keadaan kahwin dan tidak mahu mati dalam keadaan bujang."
Dari segi istilah, perkataan nikah dan kahwin ini adalah sama ertinya. Cuma orang-orang kita menggunakan istilah kahwin manakala orang-orang Arab menggunakan istilah nikah. Namun maksudnya adalah sama.Tetapi di dalam masyarakat kita, ada setengah-setengah jurunikah itu agak terlalu fanatik dengan bahasa Arab hinggakan ketika dia mengakadkan seseorang secara berwakil, dia mahukan istilah nikah itu disebut dengan betul - nikaahhh. Kalau lelaki yang dinikahkan itu hanya menyebut istilah nikah itu mengikut loghat lidahnya dan bukan mengikut loghat lidah Arab, maka dia tidak menerima kesahan nikah itu.
Ini tidak benar, kerana yang pentingnya ialah 'yang menunjukkan nikah' itu bukan loghat bahasanya. Hinggakan, kalau kita tidak tahu menyebut perkataan nikah, maka bolehlah kita gunakan perkataan kahwin saja. Umpamanya, kita menerima nikah seseorang itu dengan melafazkan, "Aku terima kahwinnya si Anu binti si Anu...". Maka sahlah nikahnya itu. Jadi tidaklah kita fanatik dengan perkataan 'nikah'.Dalam hal nikah atau kahwin ini, semua orang suka, sama ada lelaki mahupun perempuan. Sebab itulah persoalan nikah atau kahwin ini diletakkan oleh ulama-ulama sebagai salah satu bahagian agama yang terbesar. Kerana dua persoalan besar di dalam agama Islam adalah dibahagikan mengikut dua jenis nafsu yang mana salah satunya ialah yang berkait dengan persoalan kahwin. Kedua bentuk nafsu itu ialah nafsu syahwat jantina dan nafsu syahwat perut (makan).
Dua bentuk nafsu ini adalah yang paling besar dan yang paling jahat sekali. la boleh merosakkan seluruh masyarakat dan juga dunia umumnya. Umpamanya, kerana nafsu perut manusia sanggup menipu, manusia sanggup bergaduh, manusia sanggup melakukan rasuah dan sebagainya. Manakala kerana nafsu jantina, manusia sanggup melakukan apa saja termasuklah merogol, berzina dan sebagainya. Jadi kita dapati kedua-dua nafsu ini boleh membawa kepada kerosakan dunia. Sebab itu agama Islam menyelamatkan kedua-dua bentuk nafsu ini.Oleh kerana nafsu syahwat terutamanya boleh merosakkan keamanan dunia, maka Rasulullah s.a.w. pernah berkata yang bermaksud,`Apabila seseorang itu berkahwin, maka terselamatlah separuh agamanya'. Maka tinggal lagi yang separuh dan itu ialah perut.
Dengan demikian berertilah bahawa kalau seseorang itu telah berkahwin, maka dia dapat menyelamatkan separuh daripada agamanya dan sekiranya dia dapat menjaga nafsu perutnya, maka seluruh agamanya akan selamat. Dan bererti jugalah di sini bahawa barangsiapa yang sudah berkahwin, maka syaitan-syaitan akan mengeluh tetapi bagi mereka yang belum berkahwin, syaitan akan tersenyum. Dia akan membisikkan berbagai nasihat kepada diri mereka yang belum berkahwin. Umpamanya dia membisikkan supaya simpan duit banyak-banyak dahulu baharu berkahwin. Kemudian bila duit sudah banyak dia nanti membisikkan supaya beli kereta dulu, kahwin boleh ditangguhkan. "Buat apa kahwin cepat-cepat," bisiknya. Yang demikian, kalau pemuda-pemuda terpikat dengan hasutan syaitan itu, maka tersenyumlah dia kerana tindakan selanjutnya ialah untuk menghasut pemuda itu melakukan maksiat dan kejahatan. Jadi, orang yang tidak berkahwin selalunya menerima hasutan syaitan.
Dan bagi kaum perempuan pula, bapa-bapanya akan dihasut oleh syaitan. Umpamanya kalau ada orang meminang anaknya, dia nanti akan dihasut supaya berdalih dengan mengatakan anak itu masih kecil lagi atau anak itu masih belum tamat persekolahan atau yang si ibu pula akan mengatakan yang anak itu belum pandai ke dapur lagi dan berbagai-bagai dalih yang lain. Lebih-lebih lagilah kalau yang datang meminang itu seorang yang warak atau seorang alim seperti tok-tok ustaz, orang-orang dakwah dan sebagainya.Tetapi kalau yang meminang itu orang-orang ternama, pegawai-pegawai dan sebagainya, lekas-lekas dibisik oleh syaitan untuk menerimanya kerana akan dapat menghidupkan berbagai-bagai unsur riak, sombong, takabur sebagainya. Kemudian kalau rumahtangga yang dibina itu bukan atas asas agama, maka syaitan akan menghasut agar berlaku keruntuhan rumahtangga.
Jadi dalam hadith Rasulullah yang kita kemukakan di awa tadi, nyatalah bahawa orang yang mendapat berkat dalam hidupnya ialah orang yang cepat kahwin apabila sudah kahwin cepat pula dapat anak.Ada pun berkahwin ini hukumnya adalah sunat mustahabbul atau sunnah Rasulullah. Sabda Rasulullah s.a.w. Yang bermaksud, `Barangsiapa yang tidak,mahu mengikut sunnahku maka dia bukan daripada aku'. Oleh kerana berkahwin itu adalah sunnah Rasulullah s.a.w., maka barangsiapa yang tidak mahu berkahwin, dia bukan daripada golongan Rasulullah s.a.w. Ada orang takut kahwin kerana kalau kahwin nanti dia jatuh miskin atau kalau kahwin nanti dia tidak dapat bebas atau setengah orang itu takut kahwin kerana susah kalau ada anak nanti dan sebagainya. Maka orang yang tidak mahu berkahwin ini bukan dari golongan Rasulullah. Kerana yang demikian, walau miskin sekali pun, dia mesti kahwin juga.
Ada riwayat sebuah hadith mengenai seorang sahabat yang ditanya oleh Rasulullah menyuruh dia berkahwin. Tetapi sahabat itu menjawab yang dia tidak boleh kahwin kerana miskin. Kemudian dari itu Rasulullah bertanya lagi mengapa dia tidak mahu kahwin, dan dia tetap menjawab mengatakan yang dia miskin. Pada kali ketiganya bila Rasulullah bertanya lagi, sahabat itu tidak berani lagi menjawab lalu dia pun berkata kepada Rasulullah, "Ya Rasulullah, memang saya hendak kahwin sekarang ini. Carikanlah saya seorang isteri ya Rasulullah."
Maka dijawab oleh Rasulullah, "Pergilah kamu ke sebuah kampung sana dan katakan kepada orang kampung itu yang Rasulullah menyuruh mereka mengahwinkan seorang anak gadis kampung itu dengan kamu."
Kemudian sahabat itu pun pergilah ke kampung itu dan menyampaikan apa yang dikatakan oleh Rasulullah tadi. Selepas itu dia datang kembali menemui Rasulullah berkata yang dia tidak ada wang untuk dijadikan maskahwinnya. Maka dijawab oleh Rasulullah, "Carilah satu cincin besi."
Demikian gambaran riwayat hadith dari Rasulullah mengenai hukum berkahwin. la adalah sunat hukumnya bagi orang yang bertenaga tetapi bagi orang yang tidak bertenaga, maka hukumnya tidak sunat.Selain daripada itu sunat juga hukumnya bagi orang yang cukup wang untuk makan minum dan pakaian bersama isteri yang baharu dikahwinnya itu untuk satu hari satu malam sahaja. Kemudian ada pakaian untuk musim umpamanya kalau berlaku musim panas maka ada pakaian untuk musim panas, kalau berlaku musim sejuk maka ada pakaian untuk musim sejuk.
Jadi kalau kita tengokkan syarat-syarat perkahwinan yang membawa kepada hukum sunat di dalam Islam ini adalah begitu mudah. Dari segi tenaga, kita percaya kebanyakan dari pemuda-pemuda kita pada hari ini adalah orang-orang yang bertenaga belaka. Dan kalau dari segi perbelanjaan dan wang ringgit, boleh dikatakan rata-rata kaum pemuda kita mempunyai belanja lebih dari sehari dan semalam. Kalau demikian adalah amat merbahaya kalau pemuda-pemuda kita yang telah cukup syarat-syarat itu tetapi belum mahu berkahwin lagi. Kerana sepertimana yang telah kita katakan di awal tadi, mereka ini akan terdedah kepada nasihat syaitan yang boleh membawa kepada keruntuhan agama mereka. Sedangkan kalau mereka berkahwin, separuh daripada agama telah terselamat manakala syaitan-syaitan pula akan mengeluh.
Jadi kepada pemuda-pemudi dalam golongan ini yang mana pada mereka sudah cukup syarat untuk kahwin seperti ada belanja untuk makan, minum dan pakai serta ada pula tenaga, maka sabda Rasulullah kepada mereka, maksudnya: Wahai pemuda-pemuda, barangsiapa yang mampu di antara kamu serta berkeinginan hendak kahwin, hendaklah dia kahwin kerana sesungguhnya berkahwin itu akan memejamkan matanya terhadap yang tidak halal dilihatnya. Dan akan memeliharanya dari godaan syahwat dan barangsiapa yang tidak mampu kahwin, hendaklah dia puasa kerana dengan puasa, hawa nafsunya terhadap perempuan akan berkurang.
Jadi Rasulullah menasihat mereka-mereka yang sudah mampu berkahwin iaitu yang cukup syarat-syaratnya supaya berkahwin. Kata Rasulullah, "HENDAKLAH DIA KAHWIN". Ertinya satu penekanan yang kuat dari Rasulullah. Dan bagi mereka-mereka yang tidak mampu berkahwin tetapi ada mempunyai keinginan, maka hendaklah dia berpuasa kerana yang demikian boleh melemahkan nafsu syahwatnya. Namun kalau dia berpuasa tetapi nafsunya tidak juga lemah. Maka dia mesti juga berkahwin.
Dalam soal ini ada riwayat dari seorang ulama yang menceritakan tentang seorang pemuda telah datang menyatakan yang dia berkeinginan untuk kahwin tetapi tidak mampu kerana terlalu miskin. Dia bertanya, apakah dia boleh mengeluarkan 'mani'nya dengan tangan. Maka dijawab oleh ulama itu, 'tidak boleh'. Jadi lelaki yang sudah berkeinginan untuk berkahwin sedangkan dia tidak mampu, dia tidak boleh mengeluarkan maninya dengan tangan. Dia mesti kahwin. Hendaklah dia usahakan untuk berkahwin juga.
Persoalan demikian tentulah berat di dalam masyarakat kita di zaman ini dalam mana perkara minang-meminang dan kenduri-kendara perkahwinan sudah menjadi terlalu mahal. Kerana itu bagi orang-orang yang miskin, hendak berkahwin sudah menjadi satu masalah tuntutan kahwin itu bukan satu tuntutan keduniaan tetapi adalah tuntutan akhirat, yang matlamatnya adalah untuk mendapatkan rahmat daripada Allah swt bersabit dari kita mengikut sunnah Rasulullah s.a.w.
Sebab itulah di dalam satu jemaah masyarakat Islam, kebajikan di bidang perkahwinan, pinang-meminang serta kenduri-kendara mesti menjadi tanggungjawab bersama dan perlu dibangunkan bersama. Dengan demikian sajalah masalah masyarakat yang berpunca daripada pemuda-pemuda yang ingin berkahwin tetapi tidak berkemampuan akan dapat diselesaikan.
Umpamanya, jika seorang ayah itu ada mempunyai anaknya yang telah cukup syarat untuk dikahwinkan, maka dia akan dengan rela membenarkan anaknya itu dikahwinkan dengan sebarang pemuda yang sudah berkeinginan tetapi miskin. Jadi, kalau kehidupan masyarakat Islam dapat dipadukan dipersatukan di dalam jemaah demikian, maka soal miskin tidak akan timbul di dalam menyelesaikan masalah perkahwinan. Malah, bukan sahaja persoalan nikah atau kahwin saja yang diselesaikan, banyak lagi, persoalan yang berkaitan secara tidak langsung seperti persoalan poligami, kehidupan rumahtangga dan lain-lainnya dapat diselesaikan.Ini sesuai dengan firman Allah: Hendaklah ada dikalangan kamu segolongan ummah yang menyeru kepada kebajlkan, menegak yang makruf dan mencegah yang mungkar. Merekalah yang akan mendapat kejayaan.- AI Imran 104
Kemudian, kalau seseorang itu tidak mempunyai tenaga syahwat, maka adalah makruh hukumnya kalau dia kahwin. Walaupun dia mempunyai belanja, tetapi kalau dia kahwin, maka hukumnya makruh.Kalau sekirahya seseorang itu mampu berkahwin serta ada tenaga tetapi dia seorang ahli ibadah yang kuat hinggakan setiap hari dia duduk 'bersuluk' ketika dia bersuluk itu tidak pernah terlintas di dalam hatinya ingatkan perempuan, maka baginya afdal dia melakukan suluk itu.
Sejarah telah menunjukkan yang ramai ulama-ulama dahulu yang tidak kahwin sampai ke mati. Ini termasuklah seorang sufi yang terkenal bernama Basyrubil Harith. Dia pernah berkata, "Antara aku dengan Ahmad bin Hambal (Imam Hambali) cuma ada satu perbezaan. Dia berkahwin dan aku tidak berkahwin. Dia mendapat satu kelebihan iaitu pahala mendidik anak dan isterinya. Aku tidak dapat pahala susah menjaga anak dan isteri."Jadi dengan berkahwin, seseorang itu mendapat satu kelebihan iaitu dia mendapat pahala berkahwin serta pahala mendidik anak dan isterinya. Sebab itu tidak ada Rasulullah dan Nabi-nabi yang tidak berkahwin. Nabi Yahaya mendapat juga fadhilat kahwin tetapi dia tidak dekat dengan isterinya. Nabi Isa ketika diangkat ke langit oleh Allah s.w.t. tidak berkahwin tetapi apabila beliau diturunkan kembali oleh Allah di ketika hari hampir kiamat esok, ketika itu dia akan berkahwin.
Kerana yang demikian selagi kita hidup, hendaklah kita kahwin. Manakala sudah mati kita tidak boleh kahwin lagi. Ada satu riwayat Ibnu Abbas yang satu ketika dia sakit dan isterinya pada masa itu telah mati lebih dahulu. Dia pun berkata kepada sahabat-sahabatnya, "Kahwinkan aku kerana aku hendak mati dalam keadaan kahwin dan tidak mahu mati dalam keadaan bujang." Begitu sekali lakunya sahabat-sahabat Rasulullah melaksanakan perintah kahwin ini...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan