Tujuh maut banjir di MESIR
KAHERAH 19 Jan. - Hujan lebat yang jarang berlaku, melanda rantau Asia Barat semalam menyebabkan kediaman dihanyutkan air, bandar peranginan ditinggalkan dan tujuh nyawa terkorban termasuk seorang pelancong Britain dalam bencana banjir yang disifatkan sebagai terburuk dalam masa sedekad.Paras air yang meningkat di sepanjang pantai Laut Merah di selatan Mesir yang bersempadan dengan Israel, meragut enam nyawa selain merosakkan jalan raya ke kawasan pelancongan di padang pasir Sinai dan merobohkan kabel telefon dan elektrik.
Israel menutup sementara sempadannya dengan Mesir dan Jordan, ketika warga Jordan diberi amaran agar tidak menggunakan jalan raya selepas lebih sepuluh kemalangan berlaku di satu kawasan.
Seorang pelancong Britain yang belayar di Sungai Nil dekat bandar Aswan, selatan Mesir, terbunuh apabila perahu layarnya terbalik akibat angin kuat dan hujan lebat yang mendadak. Isteri mangsa dan dua rakannya, seorang warga Kanada dan rakyat India terselamat, demikian menurut ketua siasatan jenayah bandar itu, Mejar Jeneral al-Shafei Hassan.
Hujan lebat turut menghanyutkan berpuluh-puluh rumah yang diperbuat dari lumpur di perkampungan Aboul-Rish, juga di Aswan, menyebabkan dua wanita terbunuh. Mangsa terselamat terpaksa tidur di luar rumah akibat kediaman yang musnah.
Di bandar Luxor, utara Mesir, cuaca buruk menyebabkan keputusan bekalan kuasa di beberapa kejiranan dan menyebabkan gangguan dalam jadual pelayaran kapal pesiaran, kapal layar dan feri di Sungai Nil.
Seorang wanita mati lemas di Israel apabila kereta yang dinaikinya terperangkap dalam banjir kilat di selatan negara Yahudi itu, di mana ribut yang berlaku turut menyebabkan jalan utama menuju ke bandar peranginan Eilat di Laut Merah tidak dapat dilalui.
Ketua Perkhidmatan Kecemasan, Mohammed Fayez berkata, hujan lebat turut membunuh seorang wanita, 14 lagi hilang dan kerosakan pada lapangan terbang lama Sharm el-Sheik.
Seorang pegawai kerajaan tempatan, Mohammed al-Kiki berkata, banjir kilat melimpahi sebuah empangan dekat sempadan dengan Israel menyebabkan seorang lelaki maut.
Korban terakhir berlaku di kawasan peranginan Hurghada, Laut Merah apabila seorang wanita berusia 24 tahun lepas apabila dihanyutkan air di jalan besar. - AP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan