اصلح نفسك ودعو غيرك

Selasa, 29 November 2011

HIJRAH: KETEGUHAN AKIDAH DAN PENDIRIAN


Antara hari-hari peringatan yang agung ialah mengingati peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang diperbaharui pada awal bulan Muharram setiap tahun, sebagaimana kita memperbaharui bulan Rabiul Awal. Peringatan ini akan menggerakkan kemahuan, menguatkan keazaman dan mengingatkan kembali kepada orang Islam bahawa hak milik mereka terhadap Baitul Maqdis tidak akan dapat dicapai melainkan dengan satu pengorbanan yang berterusan. Sebenarnya, puak-puak yahudi selamanya tidak akan mampu mengalahkan Islam untuk mendapatkan hak mereka yang suci itu, selagi mereka menggerakkan kesungguhan menggunakan nyawa serta harta mereka. Semoga pertolongan dari Allah SWT akan semakin hampir menjengukkan mukanya.

Hijrah merupakan salah satu hari keagungan hari-hari Allah SWT dan ianya dilakukan semata-mata untuk tujuan membebaskan Ummul Qura, kawasan sekitarnya dan dunia seluruhnya dari cengkaman kezaliman orang-orang kafir. Ketika kita menyelak lembaran kitab-kitab sejarah, kita tahu bahawa pada hari Rasulullah SAW menampilkan dakwahnya, baginda SAW hanya mempunyai para sahabat RA dari kalangan golongan yang lemah, orang miskin dan golongan hamba. Baginda SAW tidak mempunyai sebarang bentuk kekuatan dan senjata untuk dibanggakan. Tetapi, peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukannya melambangkan kelemahan atau penyerahan diri, malahan merupakan satu kekuatan, kesungguhan dan penyerahan secara total kepada Allah SWT. Hijrah juga merupakan satu pengorbanan pahit demi menggapai satu keteguhan dasar dan kemantapan akidah kerana Rasulullah SAW tahu kaumnya akan menghalaunya dari negara tanah tumpah darahnya semenjak hari pertama wahyu diturunkan kepadanya.

Ketika wahyu diturunkan kepadanya, dia memberitahu Sayyidah Khadijah tentang ketakutannya, kerana dia sendiri tidak tahu menahu tentang peristiwa tersebut. Sayyidah Khadijah pergi menemui bapa saudaranya Warqah bin Naufal. Ketika beliau mendengar sendiri dari mulut seorang nabi yang agung apa yang berlaku kepadanya di dalam gua Hirak, Warqah berkata kepadanya, “Ini adalah malaikat Jibril AS yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada nabi Musa AS. Semoga aku masih kuat dan hidup lagi kerana engkau akan dihalau oleh kaummu. Rasulullah SAW bertanya, mereka akan menghalau? Warqah menjawab, ya. Tidak ada maklumat yang dibawa oleh seorang lelaki seperti apa yang engkau bawa melainkan ianya satu peristiwa ulangan. Jika aku sempat bersama-sama dengan hari-hari perjalananmu, aku akan membantumu dengan satu bantuan yang padu.”

Peristiwa hijrah bukannya baru didengar oleh Rasulullah SAW. Dengan itu, baginda SAW juga terus menguji segala kekuatan dan membuat segala persediaan kepada para sahabat RA untuk menghadap segala kemungkinan yang akan berlaku. Hijrah juga bukannya dilakukan di sebalik kekayaan wang ringgi atau kemegahan, tetapi peristiwa itu memerlukan satu perubahan di dalam hati serta semangat yang berkobar-kobar. Jika ada orang lain selain Rasulullah SAW berada di tempat baginda SAW, nescaya segala urusan hijrah akan menakutkannya, gerun menghadapi masa depan dan tidak akan memperolehi sebarang bentuk kejayaan!! Tetapi seorang nabi yang agung sentiasa berdiri teguh bersama-sama dengan para pejuang yang amat sedikit, sentiasa memberikan kesabaran menghadapi segala bentuk mehnah serta tribulasi, menggalakkan para sahabatnya menggandakan pegangan akidah, iaitu satu kekuatan laksana satu kekuasaan dan satu keteguhan laksana gunung. Rasulullah SAW sentiasa memberikan satu semangat Islami dengan menampilkan satu kekuatan luarbiasa yang lahir daripada keimanannya yang suci, kekuatan keyakinan dan kepercayaannya terhadap Allah SWT di hadapan kaum Muslimin lemah yang sentiasa diazab siang malam agar terus memperjuangkan akidah suci sehingga ke akhir hayat.

Rasulullah SAW sentiasa thabat menghadapi segala bentuk konspirasi jahat orang-orang musyrikin Mekah dan menyelesaikannya dengan penuh berani. Kekuatan mana-mana pakatan seseorang manusia biasa selamanya tidak akan mampu menurunkan dari puncak keunggulannya, perlahan-lahan hendak menghancurkannya atau menyimpangkan dari terus beroperasi ke puncak jaya. Rasulullah SAW mendepaninya dengan keagungan dan ketinggian roh melalui perasaannya yang suci menuju keunggulan yang hak. Allah SWT sentiasa melanjutkan usahanya dengan bantuanNya, meneguhkan hatinya dan menthabatkan jiwanya sehingga baginda SAW menjadi idola yang dicontohi dunia sejagat. Rasulullah SAW sendiri tidak cuba turun padang menuntut bela, malahan memaafkan dan mengampunkan mereka. Baginda SAW sentiasa melaungkan kepada para sahabat RA yang diazab serta diuji beberapa seruan, antaranya ialah “Bersabarlah keluarga Yasser! Tempat kembali kamu adalah syurga.”

Orang Islam hidup di bawah tekanan penganiayaan yang dilakukan oleh orang-orang kafir kepada mereka dengan kezaliman paling buruk. Tetapi, setiap kali orang kafir Quraisy semakin menzalimi orang-orang Islam pada masa itu, pegangan akidah para sahabat RA semakin bertambah kukuh. Kemanisan iman yang menguasai jiwa mereka dapat melenyapkan rasa kepedihan azab yang semakin menggila. Setiap hari bila matahari mula memancarkan cahayanya, orang-orang kafir yang terus berpegang dengan kejahilan mereka, pada masa yang sama terus menjalankan pelbagai perbuatan penderitaan kepada sesiapa sahaja yang menentang agama nenek moyang mereka, sama ada membakar kulit dengan besi yang dipanaskan, merendam di dalam air, dibaringkan di atas bahang padang pasir membara di bawah keterikan panas cahaya matahari, meletakkan batu besar di atas dada dan sebagainya. Puak-puak pelampau yang terbiasa dengan sikap takabbur melakukan pelbagai bentuk penganiayaan terus menguji dengan mengazab golongan yang beriman.

Allah SWT berfirman:

(وما نقموا منهم إلا أن يؤمنوا بالله العزيز الحميد)

yang bermaksud: “Mereka tidak menyiksa orang-orang Mukmin melainkan kerana mereka beriman kepada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Terpuji.” (Surah al-Buruj: 8).

Sejarah puak-puak thaghut merayakan pelbagai jenis pengazaban yang paling buruk kepada setiap golongan yang menentang pendapat mereka. Seolah-olahnya mereka hendak memaksa pemikiran manusia lain agar sentiasa menyembah patung berhala yang tidak bernyawa, tidak mampu berfikir sesuatu apa pun dan tidak mampu menegakkan sesuatu pegangan. Dunia akan menjadi celaka bila mengikuti pemikiran kuno mereka kerana mereka adalah punca segala bentuk bala bencana kepada masyarakat, malahan menjadi bebanan kepada semua makhluk. Dengan sebab itu, hak kebenaran Allah SWT telah membinasakan dan menghancurkan mereka dengan bentuk pengazaban yang paling dahsyat.

Allah SWT berfirman:

(وكذلك أخذ ربك إذ أخذ القرى وهي ظالمة إن أخذه أليم شديد)

yang bermaksud: “Dan begitulah azab Tuhanmu, apabila Dia mengazab penduduk negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya azabnya itu adalah sangat pedih lagi keras.” (Surah Huud: 102).

Kesan-kesan dosa penjenayahan mereka kekal sebagai satu bentuk laknat yang akan mengejar roh-roh mereka pada hari kiamat nanti, sementara dalam masa yang sama keteguhan keimanan para Mukminin yang tersiksa serta teraniaya kekal menjadi lambang kemegahan yang sentiasa menerajui perjalanan manusia selepasnya ke jalan Allah SWT Yang Maha Agung lagi Yang Maha Terpuji. Perjalanan pejuang kebenaran tersebut yang memiliki kekukuhan akidah, nilai akhlak yang terunggul dan dasar pendirian terbilang sentiasa melambai satu bentuk kecerdikan kehidupan, keindahan suasana dam dapat membentuk beberapa generasi selepasnya.

Bila kita membaca lembaran sejarah pejuang teragung, kita teranjak merealisasikan satu nilai ketamadunan yang murni, kethabatan dalam pendirian dan membebaskan jiwa kita daripada sebarang bentuk kelemahan, kejahilan dan membersihkan diri dari sifat ditipu oleh bangsa lain.

Allah SWT berfirman:

(أولئك الذين هدى الله فبهداهم اقتده)

yang bermaksud: “Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan petunjuk oleh Allah, maka ikutilah petunjuk mereka.” (Surah al-An’aam: 90).

Tidak ada apa yang lebih diperlukan oleh setiap umat pejuang selain dari mengikuti contoh peribadi kemanusiaan ini yang menggariskan satu teladan yang indah dan jiwa kepahlawanan untuk berpegang dengan kebenaran, bersifat sabar, tidak melampaui batasan pada setiap nilai, sekalipun terdapatnya pelbagai sebab. Kita perlu membaca kisah peristiwa hijrah, menteladani susuran masa yang mereka lalui dan menganalisis segala bentuk realitinya, menelusuri perjalanannya untuk kita mengambil pelbagai bentuk pengajaran dan kita ambil kemanfaatan segala bentuk pengalamannya. Rasulullah SAW serta para sahabat RA yang dihalau keluar sudah sering merasai keazaban yang diberikan orang kafir, yang berhijrah dari bandar Mekah di bawah kecelakaan keganasan, keingkaran dan amukan. Sehinggakan Rasulullah SAW terpaksa meninggalkan kota Mekah dengan satu pandangan yang sedih, aliran air mata berguguran membasahi pipi bersama dengan kepedihan jiwa dan gejolak perasaan yang memedihkan. Hati semua ciptaan Allah SWT merasa gementar ketika rasa sayu menyahut seruan Rasulullah SAW sambil meluahkan, “Demi Allah, aku memang tahu wahai Mekah, anda negeri Allah yang lebih aku cintai semata-mata kerana Allah dan kerasulanku. Jika tidak kerana kaummu menghalauku daripadamu, aku tidak keluar.”

Bila kehendak Allah SWT sentiasa membantu pihak yang benar, Nabi Muhammad kembali semula ke kota Mekah dalam keadaan aman.

Allah SWT berfirman:

(وقل جاء الحق وزهق الباطل، إن الباطل كان زهوقا)

yang bermaksud: “Dan katakanlah, yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap.” (Surah al-Israa’: 81).

Golongan generasi yang dahulunya dihalau dari kota Mekah kini kembali semula menjadi pemerintah yang agung. Kalimah Allah SWT telah tamat dalam keadaan amat benar dan penuh keadilan.

Allah SWT berfirman:

(ونريد أن نمن على الذين استضعفوا في الأرض ونجعلهم أئمة ونجعلهم الوارثين، ونمكن لهم في الأرض)

yang bermaksud: “Dan Kami hendak memberikan pengurniaan kepada orang-orang yang tertindas di bumi itu, hendak menjadikan mereka sebagai pemimpin dan menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi bumi. Dan Kami akan teguhkan kedudukan mereka di atas muka bumi.” (Surah al-Qasyasy: 5 dan 6).

Orang-orang kafir Quraisy penjenayah yang dahulunya mengangkat kayu cemeti dan melakukan pelbagai bentuk penganiayaan, tetapi kini laksana orang jahil, diselubungi ketakutan, tidak mampu lagi hendak mengangkat pedang, menunjukkan kekuatan atau sebarang bentuk penipuan, dunia bagi mereka semakin sempit, mereka berdiri di bawah telunjuk golongan yang dahulunya mereka aniayai dan diazab dengan pelbagai bentuk azab yang amat pedih yang dihayun oleh tangan-tangan ganas mereka. Kini, mereka hanya menunggu-nunggu kalimah hidup atau mati yang akan dihamburkan oleh mulut baginda Rasulullah SAW yang memang mereka kenali sebagai orang yang paling amanah, benar, menunaikan janji dan amat bermaruah. Sekalipun begitu, dahulunya mereka tetap melakukan pendustaan kepada baginda SAW, mengazab para sahabatnya, menawarkan pelbagai bentuk kemegahan dan harta kekayaan, tetapi baginda SAW sentiasa berkata kepada mereka, wahai kaumku, aku mengajak kamu masuk ke syurga, tetapi kamu mengajakku masuk neraka. Walaupun begitu, mereka tetap bekerja keras membanyakkan pertentangan melawan dakwah Rasulullah SAW. Pada waktu itu, golongan Muslimin yang tertindas tersiksa hidup dalam fatrah lebih dari 10 tahun di bawah injakan penganiayaan, sedangkan mereka tetap bersabar, sambil mengira bilah-bilah hari mendatang, sekalipun badan mereka seringkali jatuh tersungkur berguguran terkena panahan azab serta kelaparan. Tetapi, orang-orang kafir tetap tidak memberikan air minuman buat melegakan tekak yang kehausan dan tidak membelikan air untuk mereka. Hiburan utama kedukaan luka hati mereka ialah keteguhan iman dalam hati, kerana mereka sentiasa rindukan Allah Yang Maha Esa. Setiap kali kedukaan semakin bertambah, kepedihan semakin banyak, merasai dari satu tahap kepayahan ke satu tahap yang lebih memedihkan lagi, tetapi semua kepayahan tersebut dapat meleburkan segala kesilapan mereka dan membersihkan hati mereka daripada pelbagai bentuk kekotoran kerana orang yang beriman kepada Allah SWT, segala peristiwa yang berlaku tidak akan menggoyahkan pendirian dan tidak dapat meluputkan keteguhan mereka kerana mereka sentiasa bertawakkal kepada Allah SWT.

Allah SWT tidak akan membiarkan orang-orang beriman yang bersifat benar, malah sentiasa mempertahankan, memberi ilham dan memberikan idea kecerdikan. Bantuan kemenangan memang datangnya daripada Allah SWT yang disertai dengan sifat sabar. Sebenarnya, sesuatu kemenangan yang dicapai tidak dikecapi oleh Rasulullah SAW sendirian, tetapi ianya dinikmati bersama para sahabatnya yang sentiasa mempertahankan keperibadiannya, memelihara kepentingannya, mengorbankan roh serta membelanjakan setiap kepentingan demi menjaga kedudukan baginda SAW. Rasulullah SAW yang seringkali menanggung duka dan merasa kesedihan khususnya selepas dua peristiwa penting menimpanya yang memberikan satu kesan mendalam dalam dirinya, iaitu kewafatan isterinya, Sayyidah Khadijah bte Khuwailid RA, yang memanaskan semangat baginda dengan perasaannya, mengesat dahinya yang sentiasa memikirkan umatnya, sanggup berkorban apa sahaja demi kemuncak Islam. Beliau juga memujuk baginda SAW dengan kalimah belas ihsan serta kelembutan ketika jauh daripada ahli keluarga, tidak diterima oleh kaum kerabat dekat mahupun jauh. Dalam masa yang sama, beliau mencurahkan semua harta kekayaannya dan membelanjakan kesenangannya demi untuk dakwah Islam. Sayyidah Khadijah RA merupakan seorang yang memiliki kelembutan senyuman harapan masa depan dan penghembus rasa kasih sayang di dalam rumah Rasulullah SAW yang teragung.

Begitu juga dengan kewafatan bapa saudara baginda SAW, Abu Talib yang dianggap sebagai wadah tempat berteduh kerana beliau sentiasa memberikan harapan masa depan kepada Rasulullah SAW. Dalam masa yang sama, dasar kekuatan perjuangan baginda SAW sedikit sebanyak dapat diceduk daripadanya sebagai meneruskan keazaman dan membantunya menghadapi segala kepayahan berdakwah serta berdepan dengan pelbagai kerenah musuh. Segala bentuk kebaikan yang dicurahkan oleh Abu Talib kepada anak saudaranya merupakan satu contoh mithali. Beliau mempunyai beberapa pendirian yang tetap untuk mempertahankan hak kebenaran, ajaran wahyu menggunakan sebarang bentuk kekuatan dan tidak sekali-kali berganjak daripada jalan ini. Beliau tidak pernah berbangga serta bermegah dengan kedudukan kemegahan serta kekuasaannya untuk memerangi para musuh Rasulullah SAW. Pada satu ketika, beliau menghadapi para kafir Quraisy dengan cara kelembutan serta perlahan-lahan, tetapi pada kali yang lain beliau menghadapinya menggunakan kekerasan serta permusuhan. Dia juga sanggup membantu gerakan dakwah Rasulullah SAW dan tidak pernah sekali-kali kikir mengeluarkan sebarang bentuk bantuan kewangan atau kekuatan kepada anak sandaranya dan para sahabatnya.

Selepas beberapa hari kewafatan Abu Talib selepas kewafatan Sayyidah Khadijah RA, pihak kaum kafir Quraisy semakin melampau kemuncak penghinaannya, kebangsatannya dan sampai ke kemuncak penentangan serta perlawanan. Mereka mempelbagaikan jenis penganiayaan kepada orang-orang Islam sehinggakan dada Rasulullah SAW menjadi sebak ketika berada di kota Mekah dan terhadap penduduknya kerana mereka terus menghamburkan pelbagai wasilah pemusuhan dan terus mengambil peluang untuk menghalang dakwah Rasulullah SAW dari terus mara ke singgahsana kejayaannya.

Dengan sebab itulah, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk berhijrah dari kota tanah tumpah darahnya Mekah menuju ke Thaif yang kemungkinan mendapat secebis bantuan serta pertolongan dari kaum Thaqif. Dia berharap kedatangannya nanti akan diterima dengan penuh penghormatan, tetapi jangkaannya meleset sama sekali kerana di Thaif rupa-rupanya Rasulullah SAW menerima hidangan permusuhan yang lebih teruk lagi jika dibandingkan dengan penderitaannya di kota Mekah. Rasulullah SAW sampai ke Thaif berjalan kaki sejauh perjalanan 50 batu dengan menempoh jauh perjalanannya tanpa menanggung sebarang bentuk kesusahan perjalanan mahupun kepanasan cahaya matahari. Baginda SAW bersama ahli rombongannya tinggal di tengah-tengah kelompok bani Thaqif selama 10 hari, tetapi tindakan yang dilakukan oleh mereka lebih buruk lagi daripada penduduk Mekah kerana hati mereka belum bersedia menerima sebarang bentuk reformasi petunjuk. Walaupun begitu, mereka tetap dengan sikap kejahilan, memerintah kanak-kanak dan kaum wanita mereka untuk membaling Rasulullah SAW menggunakan batu. Mereka sentiasa melakukannya sehinggalah kepala baginda SAW terluka dan kedua-dua kakinya mengalir darah. Sejurus, baginda SAW tersedar akan tanggungannya dan kelemahannya. Baginda SAW duduk menyusun semula strategi pernafasan dan hatinya yang masih lagi diselubungi dengan kepedihan. Dengan itu, baginda SAW memohon belas ihsan daripada Allah SWT, air mata penghibur hati berembesan menggenangi kedua matanya, lalu mengangkat kedua tangannya memohon doa pengaduan dan seruan kebenaran mengandungi setiap harapannya beserta basahan air mata kesedihan yang memedihkan serta kesakitan yang mendalam.

Hati makhluk terus mencurahkan rasa simpati dan belas ihsan kepada seorang Nabi pemberi petunjuk yang membawa sinaran kerahmatan kepada sesiapa yang belum mendapatkan kerahmatan, menyinari cahaya kepada sesiapa yang buta matanya lantaran diselubungi dengan gejolak kesyahwatan dan hidup dalam kenajisan minuman arak serta penyembahan patung berhala. Pemilik hati yang teragung mendapati dalam doanya satu kerehatan dalam jiwa, memaniskan hati dan cahaya dapat menembusi masuk ke dalam hati, lalu memberikan harapan ke dalam jiwa buat masa depan yang membahagiakan. Dengan itu, baginda SAW berdoa kepada Allah SWT, “Wahai Allah, hanya kepadaMu jua aku mengadu kelemahan kekuatanku, amat sedikit segala perancanganku dan pengharapanku kepada orang lain, wahai Tuhan yang Maha Pemberi kerahmatan. Engkaulah Tuhan golongan yang teraniaya dan Engkaulah Tuhanku, ke manakah lagi aku hendak mengadu dan berserah diri? Kepada orang jauh yang telah menyerangku? Atau kepada musuh yang memiliki segala urusanku? Jika Engkau tidak rasa marah kepadaku, janganlah Engkau memperdulikan keadaan diriku, melainkanlah kebaikanMu amat luas kepadaku …”

Dalam doa tadarru’ ini, Rasulullah SAW mencurahkan semua perasaan hati, kerinduan dan kecintaannya semata-mata kepada Allah SWT. Seseorang yang lemah mengadu kepadaNya untuk diberikan sebarang bentuk kekuatan, menaburkan segala pengharapan untuk mendapatkan ketenangan abadi, antara tanggungjawab serta permasalahan yang menghalanginya untuk membantu membangkitkannya semula melaksanakan tugas yang belum selesai, memberikannya satu keazaman padu demi melenturkan segala bentuk kepayahan yang menyekat di hadapannya. Dalam keadaan Rasulullah SAW berdoa, keadaan peribadinya serta yang lembut, jiwa yang dilingkungi penuh kerinduan para kerahmatan Allah SWT, lalu berdoa mengharapkan jalan penyelesaian. Baginda SAW dalam keadaan kerehatan dan menuju pengharapan.

Dalam beberapa detik peristiwa ini, berlakulah peristiwa Israk Mikraj. Allah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana hendak mengangkat Nabi yang agung Muhammad SAW ke beberapa tingkat langit yang amat tinggi agar baginda SAW dapat menganalisis sendiri hakikat kejadian alam. Menerobosi ke arah ufuk cahaya untuk diperlihatkan sebahagian tanda-tanda kebesaran serta keagungan Allah SWT. Kemudian, baginda SAW mengadakan satu ikatan pertemuan yang amat mulia bersama-sama dengan para nabi terdahulu yang mendahului Rasulullah SAW dalam perjalanan dakwah. Rasulullah SAW kini telah merasai secebis kepayahan sebagaimana yang telah dirasai oleh mereka ketika hendak memuncakkan hakikat kebenaran Ilahi. Pertemuan ini dianggap sebagai satu majis kemuliaan terhadap rasul yang telah merasai keazaban di bumi dan juga satu bentuk urusan yang boleh menguatkan satu keazaman baru serta mengukuhkan kembali semangat kerohanian. Dapat dipastikan kepada baginda SAW bahawa baginda SAW sendiri mendapat kedudukan teristimewa di sisi Allah SWT. Ianya satu anjakan pengharapan untuk terus menelusuri kegiatan dakwah pada jalan Allah SWT dan menerangkan kepadanya bahawa segala bentuk mehnah rintangan yang diberikan oleh kaumnya penduduk Mekah dan Thaif merupakan satu dugaan awal sebagai menguji keteguhan keimanan di dalam dada. Begitulah pendakwah pada jalan Allah SWT mesti mempersenjatakan diri dengan dasar keimanan yang mantap. Para golongan pengikut kebenaran akan melihat pada hayat kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat RA pada marhalah pertama jalan dakwah merupakan perumpamaan paling indah yang mesti diikuti dan dipelajari. Pembawa risalah dakwah semestinya mula mereformasi dalam diri masing-masing terlebih dahulu, sebelum menganjakkan dakwah ke persada masyarakat umum agar mereka boleh dijadikan sebagai pemimpin hakiki.

Musuh-musuh reformasi pembaharuan akidah yang dibawa oleh Rasulullah SAW bila mereka tidak berjaya menyekat gerakan dakwah baginda SAW secara halus serta kelembutan, mereka mula melancarkan ugutan, penganiayaan, membuat beberapa serangan dari segi jiwa serta bekalan makanan, malahan sanggup memutuskan hubungan persaudaraan dan menahan hubungan ekonomi. Bila orang Islam sendiri mampu berdiri dan mengadakan penentangan, mereka mula menyusun strategi perlawanan serta pertarungan ini. Malah, mereka sanggup membuat satu perancangan ingin membunuh seorang nabi teragung. Ianya merupakan satu ketentuan putus asa yang menunjukkan bahawa kaum kafir pada masa itu tidak mampu melawan arus gerakan dakwah Rasulullah SAW yang mula mendapat tempat di dalam hati masyarakat setempat. Tiba-tiba muncul bantuan daripada Allah SWT kepada golongan teraniaya di atas muka bumi dan mereka menjadi satu gerombolan kepemimpinan pembaharu dalam masyarakat manusia. Ianya ada kaitan wujudnya satu hubungan yang kuat antara hijrah dan akidah dalam citarasa perasaan orang Islam pada masa itu.

Thiqah pada diri sendiri, bersatu, ikatan ukhuwwah Islamiah, bersabar terhadap segala bentuk mehnah yang menghalang, teguh terhadap nilai-nilai akhlak mulia, strategi perancangan yang tersusun, persediaan kebendaan serta kekuatan kerohanian adalah antara faktor kemenangan kaum Muslimin. Hijrah hanya merupakan salah satu siri realiti peristiwa Islam yang sentiasa akan bertambah sehingga sampai ke peringkat berhijrah agar dapat mewasilahkan antara peristiwa yang mengesankan jiwa dan beberapa keputusan matlamat di akhirnya. Kita pelajari tasawwur realiti peristiwa hijrah agar natijahnya dapat memunculkan pelbagai nama yang menyinarkan cahaya kepada golongan para muda mudi dan mereka dapat merealisasi analisis peristiwa hijrah dalam diri masing-masing buat bekalan persediaan menjulurkan gerakan dakwah di atas gelanggang sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

QASIDAH AL MUHAMMADIYAH

kempen MENGINGATI KEMATIAN

kempen HARAM MEROKOK