اصلح نفسك ودعو غيرك

Jumaat, 18 Jun 2010

~tak pernah makan nasi~

PARIT: Akibat geli dan fobia melihat nasi melekat di jari, seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun bukan saja tidak pernah menjamah makanan ruji itu, malah sering memuntahkan semula makanan itu sebaik disuap ibunya sejak berusia enam bulan.

Bagi Mohd Faiz Hilman Ahmad Edwin, dia kini hanya bergantung kepada makanan seperti biskut, kek, roti, nuget dan bebola ikan sebagai sarapan pagi, tengah hari dan malam.


Ibu kanak-kanak itu, Norzarihan Hashim, 35, berkata dia pernah cuba memberi bubur nasi kepada Mohd Faiz ketika berusia enam bulan, namun anaknya itu memuntahkan semula selepas disuap.


Katanya, anaknya seolah-olah geli apabila melihat sisa nasi melekat pada jari dan sering menyembunyikan diri sebaik cuba disuap makanan itu.


“Walaupun akur dengan keadaan menimpa Mohd Faiz, namun saya tetap mencuba untuk memberinya nasi, tetapi dia tetap bertindak menutup mulut dan melarikan diri mengelak disuap menyebabkan saya buntu.


“Malah, dia sering menjauhkan diri setiap kali saya dan suami serta adik-beradiknya yang lain menjamu selera di meja makan,” katanya ketika ditemui semalam.


Menurutnya, dia sentiasa membawa bekalan biskut setiap kali membawa anaknya itu keluar bersiar-siar termasuk menghadiri kenduri perkahwinan disebabkan tabiatnya yang tidak suka memakan nasi.


Katanya, dia pernah membawa Mohd Faiz berjumpa bomoh untuk merawat tabiatnya itu, namun masih tiada perubahan, sebaliknya anaknya tetap tidak mahu memakan nasi.


“Saya hairan dengan masalah menimpa Mohd Faiz kerana adiknya, Maisarah Afia yang baru berusia tujuh bulan sudah mula memakan bubur nasi manakala anak sulung, Marsha Erlina, 8, juga tidak menghadapi masalah menjamah nasi,” katanya.


Mohd Faiz yang kini belajar di Taska Abim, Parit adalah seorang kanak-kanak yang aktif dan membesar seperti rakan sebaya lain.


Malah, dia bercita-cita mahu menjadi doktor dan begitu meminati mata pelajaran Matematik dan Sains serta aktif dalam sukan bola sepak.

Norzarihan berkata, dia akan membawa anaknya berjumpa dengan pakar pemakanan dalam tempoh terdekat dan berharap masalah dihidapi anaknya itu dapat diatasi.

http://www.hmetro.com.my/articles/Takpernahmakannasi/Article/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

QASIDAH AL MUHAMMADIYAH

kempen MENGINGATI KEMATIAN

kempen HARAM MEROKOK